Assalamualaikum warahmatullah wa wabarakatuh.
Kehidupan manusia adalah satu perjalanan yang penuh dengan suasana dan keadaan. Setiap yang berlaku di sekeliling kita pasti ada pengajaran bagi mereka yang tahu berfikir dan mengambil iktibar dari apa yang berlaku di sekelilingnya.
Dalam satu hadith Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak akan masuk syurga seorang dari kamu disebabkan amalannya”. Para sahabat lantas bertanya: Termasuk kamu Ya Rasulallah?” Jawab baginda: “Ya, termasuk daku melainkan Allah melimpahi daku dengan rahmat dan kelebihanNya”.
Sungguh, amalan kita jikalau nak dibandingkan dengan syurga yang dijanjikan belum cukup untuk mendapatkan walau sebutir pasir yang terdapat di dalamnya. Bahkan jikalau hendak dibandingkan dengan nikmat-nikmat dunia pun, belum cukup untuk menebus sebahagian darinya. Nikmat penglihatan, pendengaran, makan, minum, hidup, bernafas, bergerak, bercakap, bermacam ber.. dan ber…
“Seandainya kamu mahu menghitung nikmat Allah nescaya kamu tidak dapat menghitungnya”
Justeru, Rasulullah s.a.w menyatakan kepada kita bahawa kita tidak akan masuk syurga dengan amalan tetapi dengan rahmat Allah.
Suatu hari kita sedang makan dan minum di sebuah restoran bersama rakan. Bukan satu perkara yang ganjil dan aneh sekiranya datang kepada kita sang fakir dan miskin. Terkadang datang si ibu mengendong anaknya. Meraih simpati dari makhluk Allah yang lain untuk membantu. Ada yang membantu dan ada juga yang membatu.
Si ibu datang seraya menyapa. Mengganggu kosenterasi kita. Terlupa makanan buat seketika. Bagi yang mempunyai kasih dan belas ditatap si ibu dan si anak. Lantas bertanya khabar dan berita.Di tangan si ibu memegang sebungkus tisu poket untuk dijual. Ada juga yang membawa stiker/ pelekat kecil. Kemudian kemanusiaan dan kasih yang ada mendorong kita untuk memberi lebih dari harga sepatutnya. RM2 atau RM5 atau RM10. Nilainya tergantung kepada kemampuan dan sifat kasih dan belas.
Jikalau hendak dikira pada nilai yang sepatutnya sebungkus tisu harganya hanya RM1 atau kurang. Jikalau wang itu sebagai tukaran tisu tidak lebih dari itu jumlah yang terkeluar. Jikalau tanpa kasih dan belas mustahil memberi lebih dari yang sepatutnya.
Itulah impak dari sifat rahmat yang Allah kurniakan satu per seratus untuk hamba-hambaNya. Dengannya seorang ibu mengasihi anaknya. Seorang abang mengasihi adiknya. Dengannya kita merahmati sang fakir, menyayangi anak yatim. Bahkan dengannya seekor binatang melindungi anaknya dari malapetaka dan bahaya.
Itu hanya 1/100 dari rahmat Allah dan Allah menyembunyikan 99 lagi rahmatNya buat penghuni syurga. Allah, Ar-Rahman, Ar-Rahim… syurga yang dipenuhi dengan nikmat dan kasih sayang. Para penghuninya tidak bermusuhan antara satu sama lain. Para bidadari menyambut suami-suami mereka ahli syurga dengan penuh kasih dan mesra. Bersama mereka dikecapi nikmat-nikmat syurga. Paling utama, melihat pada wajah Allah Tuhan Yang Maha Pencipta. Yang Maha Merahmati hamba-hambaNya…
Ya Allah, aku pohon rahmat-Mu….
No comments:
Post a Comment
What do you think about this entry?tell me..