About AXIMUD

Friday, November 1, 2013

MEMBERI KRITIKAN BIARLAH MEMBINA, BUKAN MENJATUHKAN.

Saya suka buat review tempat makan dalam blog ini.

Jika makanan itu sedap, pasti akan saya buat review dan pujian melambung. Siap akan promote kedai makan tersebut kepada blog reader dan kawan-kawan. Tapi jika sebaliknya, pasti saya akan melabelkan kedai ataupun restoran tersebut supaya di banned dan menyarankan supaya pembaca-pembaca blog saya supaya tidak berkunjung ke kedai makan tersebut. Kuasa pengguna dan kuasa pembeli, kononnya. Ya betul. Kita ada hak sebagai pembeli untuk makan di restoran mana yang kita suka.

Semakin matang dengan kehidupan, saya rasa seperti telah membuat satu kesilapan.

Kesilapan yang tidak wajar.

Kesilapan saya apabila sesuka hati melabelkan kedai makan yang tidak kena dengan selera sendiri adalah tidak berbaloi untuk dikunjungi. Malah tidak keterlaluan saya katakan bahawa sama ada sedar ataupun tidak saya telah mempengaruhi follower ataupun blog reader supaya jangan makan di sesuatu restoran yang kualiti makan nya adalah tidak sedap dan berservis teruk, dari penilaian peribadi saya. seolah-olah saya pula yang menghakimi mereka dan punya kuasa untuk melabelkan sesebuah restoran dengan sesuatu yang tidak elok.

Di situ lah kesilapan saya.

Tanpa sedar, mungkin ada beberapa banyak restoran yang telah kehilangan pelanggan akibat komen komen negatif daripada orang macam saya. sedangkan mungkin itulah periuk nasi mereka, tempat mereka mencari rezeki saban hari. Penilaian saya tak semestinya persis, kerana mungkin rezeki saya tidak bertuah pada hari saya berkunjung ke restoran tertentu. Mungkin pada hari saya bertandang kebetulan dihidangkan dengan makanan yang tidak menepati citarasa dan servis tidak konsisten. Tapi boleh jadi pada hari itu sahaja. Tidak mungkin kita boleh sempurna setiap masa.

Jadi apakah penilaian saya boleh dijadikan rujukan?

Dari sudut pandang dunia perniagaan ya, boleh dijadikan ukuran kerana adab berniaga seharusnya sentiasa mempersembahkan yang terbaik buat pelanggan. Menyediakan makanan yang basi ataupun hampir basi merupakan suatu yang lansung tidak boleh diterima akal fikiran. sebagai pelanggan kita membayar harga makanan dan servis, maka seharusnya kita mendapat pulangan yang setimpal. Biar mahal harga makanan dan servis tapi biarlah rasanya berbaloi-baloi. kebanyakan daripada kita hari ini sudah tidak kisah dengan harga makanan yang mahal asalkan ianya menepati standard dan rasa yang menawan jiwa. mahal pun tak apa. pasti akan kembali lagi mencari menu lain pula untuk dicuba. Itu dari sudut pandang dunia perniagaan.

Bagaimana pula dari sudut kemanusiaan?

Dari sudut kemanusiaan, saya rasa pandangan dan penilaian saya adalah tidak boleh diterima. saya rasa bersalah. Bersalah dalam erti kata saya mungkin telah menyempitkan mata pencarian tuan punya milik restoran atau tempat makan. Siapa sangka impak nya mungkin besar bagi sesetengah restoran. yang mencari rezeki dengan jalan ini. Siapa lah saya untuk menutup periuk nasi mereka? seperti yang telah dikatakan di atas, mungkin hanya pada hari saya bertandang sahaja kebetulan makanan jadi tidak sedap dan servis kurang mengancam, disebabkan faktor faktor lain. tapi boleh jadi pada hari itu sahaja. Maka apabila saya membuat review dan terus banned kedai makan tersebut, secara tak lansung mungkin ada kawan-kawan yang terdengar dan terbaca review saya terus menutup hati untuk tidak singgah ke restoran tersebut.

nampak?

Di situ lah perkara yang tidak betul berlaku. Seharusnya jika makanan dan servis kurang baik dari pihak pengusaha restoran, kita menegur dengan cara baik. beritahu pengurusan restoran apa yang tidak kena dan minta mereka perbaiki lagi mutu servis supaya tidak semakin kehilangan pelanggan. Kita cuba tegur dan habiskan sahaja teguran kita di situ. Menegur secara senyap-senyap adalah jalan terbaik, daripada terus kita mencanang kepada satu dunia bahawa restoran itu dan restoran ini jangan perlu kita jejakkan kaki lagi kerana servisnya begitu dan begini. Makanan nya tidak sedap begitu dan begini.

Apakah itu cara yang baik? Sampai saat ini, saya rasa tidak.

Saya rasa keadaan itu tidak membantu lansung pengusaha restoran untuk memperbaiki tahap makanan dan servis yang mereka hidangkan kepada pelanggan. Malah ia hanya memburukkan keadaan. terutama bagi pengusaha restoran yang baru sahaja bangkit memulakan perniagaan. sepatutnya perlu beri teguran secara berhemah, bukan dengan cara sebegini. Bukan dengan cara mencanangkan di media sosial tentang keburukan sesuatu restoran/tempat makan itu. Insya Allah, saya akan belajar dari kesilapan. Kita sama-sama bekerja dan mencari rezeki yang halal. Mungkin selama ini saya terlupa fakta itu. Rezeki sama sama Allah beri di atas muka bumi, maka sama-sama lah kita merasa dan jangan memberi kesusahan kepada orang lain.

Astaghfirullahalazim.

Imam Syafie pernah bersyair, mengatakan bahawa cara menegur perlu berhemah. tegurlah orang yang ingin ditegur itu apabila mereka bersendirian dan jangan tegur di khalayak ramai. itu lah baru teguran yang sebenar-benarnya. Sama juga konsep dalam hal ini mahupun hal lain, sama-sama kita cuba memberi teguran dengan berhemah dan mengambil kira hati dan perasaan orang lain. Apa yang kita tidak suka orang lain buat pada kita, jangan sesekali kita lakukan pada orang lain. Sama-sama kita ambil manfaat ini dan cuba berubah ke arah yang lebih baik.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

What do you think about this entry?tell me..