Followers

Saturday, July 27, 2013

KISAH BERBUKA PUASA 18 RAMADHAN 1434H

18 Ramadhan 1434H

Sebelum waktu berbuka puasa tadi, keadaan kecoh di dapur. Masing-masing sibuk dengan tugas tersendiri. Mak sediakan kerisik. Aku dan wife buat kuih buah melaka, puteri mandi dan popiah goreng. Kak tie sibuk siang ikan. Ami sediakan rempah untuk bakar ikan. Faiz tak sudah-sudah dengan kuih cheese tart nya. Kak ija dan adik da sibuk ke sana ke mari sediakan masam pedas ikan tenggiri, singgang ikan aya, kerabu mangga, ulaman budu dan tempoyak. Zul mengupas durian sambil diperhatikan anak-anak kecil di sekeliling. Abang jalee dan kak la pula berperanan sediakan air untuk berbuka. Air soya dan sirap selasih tersedia rapi. Setengah jam sebelum waktu berbuka, kak ina sampai membawa telur masin. Pendek kata, semua ada kerjasama dan tugas tersendiri. How I wish abang shuk dan isteri juga ada bersama. Untuk memeriahkan lagi majlis berbuka puasa bersama keluarga.

Masuk waktu maghrib, semua sudah ber sedia di meja makan. Itu lah satu perkara yang paling penting arwah ayah terapkan dari dulu. Kebersamaan bersama. Makan berjemaah sangat penting. Kerana di situ kasih sayang sesama ahli keluarga dapat di perkukuhkan lagi. Alhamdulillah syukur sangat dengan rezeki dari Allah. Orang kata, walau kita makan makanan 5 star hotel sekalipun apa lah ertinya jika makan berseorangan. Walau hanya makan nasi kosong dan ikan masin, ianya jauh lebih memberikan erti dan kasih sayang jika dikongsi bersama ahli keluarga tercinta. Benar sekali kan?

Selesai waktu berbuka, kami solat maghrib berjemaah. Sementara menanti waktu isyak, bertazkirah dengan mak dan berdiskusi soal hal agama. Dan apabila isyak menjelma, terus saja kami melansungkan isyak dan selesaikan solat taraweh bersama-sama.

Tradisi.

Itu lah tradisi di bulan Ramadhan. Bagi keluarga kami. Yang arwah ayah sudah tetapkan dari dulu. Berjemaah sangat penting dalam semua perkara. Waktu makan sekalipun, jangan makan sehingga semua orang sudah berada di meja makan. Sama juga halnya sebelum solat. Seboleh mungkin arwah ayah akan mempastikan semua ahli keluarga cukup terlebih dahulu.

Barangkali,

Nun jauh di atas sana, arwah ayah sedang tersenyum. Tersenyum melihat gelagat anak-anak yang masih mampu teruskan tradisi dari dulu. Tersenyum melihat anak-anak tiada telagah, berusaha menjaga mak yang semakin di mamah usia sebaik baiknya. Barangkali. Barangkali arwah ayah tenang di alam sana.

Atas zat dan kemuliaan Mu ya Allah, Kau satukan lah hati kami adik beradik sehingga ke akhir hayat. Semoga kami dapat tempuhi hidup tanpa bercakaran dan bermusuh-musuhan. Satukan hati kami mudah-mudahan semua cabaran dan rintangan yang kami lalui dapat ditempuhi dengan redha dan sabar. Dan peliharakan lah arwah ayah dan peliharakan lah mak semoga kesudahan yang baik akan jadi milik kami semua.

Ameen.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails