Followers

Thursday, March 6, 2014

TERIMA KASIH ATAS SEGALANYA, MAK..

Kisah malam tadi.

5 Mac 2014

Usai solat berjemaah isyak bersama Mak.
 

Alhamdulillah sejak tinggal bersama Mak, banyak kali juga peluang Allah anugerahkan untuk solat sama-sama dengan Mak. Saat bahagia menerpa bilamana seorang anak boleh imam kan ibunya sendiri dalam solat. Sekurangnya satu waktu pun jadi lah. Maklum lah ayah sudah tiada, maka seharusnya anak-anak mengganti peranan ayah yang memang amat menitik beratkan soal solat fardhu berjemaah. Itu lah ubat paling mujarab arwah ayah tinggalkan buat kami semua - kebersamaan dalam banyak perkara. Solat perlu berjemaah, dan ketika waktu makan semestinya perlu semua ahli dalam rumah hadir sama. Jika tidak siapa pun tidak akan dibenarkan untuk menjamah makanan.

Cuma kebelakangan ini kesibukan kerja sangat membataskan waktu untuk aku luangkan masa bersama emak.

Usai mengaminkan doa, aku salam, peluk dan cium pipi mak. Lantas aku berbaring atas paha mak. Ya. Agak canggung apabila seorang yang sudah menginjak masuk ke alam kedewasaan seperti aku berkelakuan sedemikian. Tapi hakikat dalam hati, Au sangat merindui Mak. Rindu untuk meluangkan masa dengan mak. Rindu untuk berbicara panjang dengan mak seperti waktu dulu. Rindu untuk bawa mak ke hospital untuk temujanji doktornya. Rindu untuk bawa dia makan makanan kegemarannya. Rindu dengan keropok lekor yang dia akan sentiasa buatkan untuk aku suatu waktu dulu. Rindu segalanya tentang Mak.

Mak seperti terkejut.

Kerana yang biasa berbaring atas peha mak selepas solat ialah faiz . Adikku yang bongsu. Faiz memang manja dengan mak. Maklum lah Anak bongsu. Biasa seleps solat berjemaah dia lah yang akan segera berbaring ke atas paha Mak. Untuk melampiaskan rasa rindu juga, barangkali. Dan tak dapat aku nafikan, aku seperti kembali menjadi anak kecil saat mula menagih rindu pada Sosok tubuh tua yang telah susah payah mengandung, melahirkan dan menyusukan aku sedari aku masih kecil dahulu.

Aku katakan pada mak, yang aku merindui dia. Aku rasa seperti sudah lama tidak punyai waktu untuk luangkan bersama-sama dia. Semuanya kerana kesibukan kerja yang berpanjangan dan juga sibuk dengan aktiviti sendiri. Walaupun duduk sama-sama tapi waktu yang berkualiti tidak dapat dicari untuk dimanfaatkan bersama. Sedang aku tahu, umur kita makin lama makin bertambah. Dan sudah pasti mendekati waktu untuk bertemu dengan Tuhan. Aku katakan pada Mak, aku takut suatu masa Allah tak beri peluang lagi untuk aku tatap wajahnya. Sama ada aku atau maka yang pergi dahulu, itu pekerjaan Allah. Semua sudah tertulis dalam rahsia Allah.

Mak senyum.

Dalam senyum, mak kata pada aku. Nabi S. A. W ada berpesan -Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara :

Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu,
Waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu,
Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu,
Masa luangmu sebelum datang masa sibukmu,
Hidupmu sebelum datang kematianmu.”

Mak kata, tidak ada masalah untuk kita sibuk dengan urusan dunia sebab itu mata pendapatan kita. Cuma jangan pernah kita lupa dan tergelincir dari syariat islam yang asal. Ilmu perlu sentiasa dicari, kerana ilmu itu jika kita cari (terutamanya hal agama) insya Allah ianya akan menjadi syafaat kepada kita setelah mati kelak. Manakala harta jika dikumpul akan bertambah tetapi tiada guna satu sen pun apabila telah mati. Betapa ramainya manusia yang terpedaya dengan nikmat waktu lapang dan nikmat waktu sihat.

Mak kata lagi, Antara nasihat yang pernah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya ialah sabda Baginda bermaksud:"Tanda kebencian Allah terhadap hambaNya, dia bersibuk dengan perkara yang tidak memberi manfaat kepadanya, dan sesungguhnya, seseorang yang kehilangan satu saat daripada usianya dalam perkara yang bukan dijadikan untuknya(bukan ibadat), wajarlah dia berpanjangan dalam penyesalan. sesiapa yang telah melebihi usia empat puluh tahun, sedang kebajikan dirinya belum mengatasi kejahatannya, sedialah untuk masuk ke dalam neraka."

Allahurabbi.

Betapa bermakana dan mendalamnya pesanan yang Mak berikan. Aku rasa lemah. Lemah dan hiba mengenangkan betapa kita semua seringkali disibukkan dengan urusan dunia. Dan kadang-kadang terbabas juga dari landasan yang sepatutnya. Tapi aku yakin, walau sebesar mana pun Dosa yang kita lakukan, Pengampuan Allah itu melangit tinggi, melebihi kemurkaan Nya kepada kita. Bayangkan kasih dan sayangnya Allah kepada makhluknya. Maka apa kita sebagai makhluk masih terus-terusan melakukan maksiat? Seakan-akan baru kini aku merasakan, aku kembali. Aku kembali kepada Mu Tuhan..

Terima kasih Mak.

Atasa semua nasihat ketika aku amat memerlukan bimbingan dan dorongan. Terima kasih kerana sentiasa jadi insan paling mulia dalam hidup aku yang memimpin aku saat mula hilang arah dan pedoman. Terima kasih atas segalanya. Dan saat ini, aku mula rasa sedih. Sedih mengenangkan waktu bakal terjadinya saat aku tak mampu lagi untuk bermanja dengan Mak, seperti waktu kini..

Pesanan buat semua kawan-kawan, ketika mana kita berasa berat untuk membalas jasa dan mendoakan ibu kita, kenangkanlah betapa suatu ketika dulu kita telah berhutang nyawa kepadanya. Tidak kira betapa mulia dan tingginya darjat kita sekarang, namun kita adalah sehina-hina manusia jika kita mula melupakan jasa ibu yang telah susah payah mengandung, melahirkan dan menyusukan kita.

Terima kasih Allah, kerana masih beri nikmat seorang IBU kepada kami sekeluarga setelah AYAH Kau telah ambil daripada kami. Moga kedua-dua mereka sentiasa dalam barokah dan peliharaan Mu ya Allah.
 
 

1 comment:

InaAchik said...

this entry make me cry...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails