ANUGERAH Juara Lagu (AJL) kali ke-22 mungkin boleh dianggap sebagai edisi terbaik penganjurannya sejak lebih dua dekad majlis anugerah yang mengiktiraf komposer, penulis lirik serta penyanyi tanah air itu diadakan stesen penyiaran TV3.
Bukan saja perjalanan anugerah yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil itu sendiri amat lancar, bahkan tidak ada babak yang melalut, termasuk di kalangan pengacara bertugas - Cheryl Samad, Ally Iskandar, Fara Fauzana dan Faizal Ismail - menyebabkan program yang bermula jam 8.30 malam itu tamat dalam masa dua jam setengah saja.
Pada awalnya, timbul keraguan mengenai ketepatan waktu apabila jumlah lagu yang dipertandingkan kali ini agak banyak iaitu 14 kesemuanya. Namun, pujian buat TV3 dan petugas AJL22 yang menjadikan rancangan hiburan popular itu meriah dan padat.
Daripada rekaan pentas berbentuk bulat terletak hampir di tengah arena, sambutan penonton yang luar biasa apabila tempat duduk dipenuhi dan persembahan artis yang rata-rata boleh dipuji, ditambah keputusan yang dikatakan adil, AJL kali ini dikira memuaskan hati.
Jika ada rungutan, hanyalah pada gangguan sistem bunyi di arena. Pada ketika aspek lain penganjurannya berupaya mendapat markah tinggi, sistem bunyi AJL22 masih banyak yang boleh diperbaiki. Gema keterlaluan menyebabkan nyanyian artis ada kala tidak jelas kedengaran.
Paling penting, anugerah tahun ini bagai memberikan pengiktirafan kepada karya muzik berkumpulan sesuai dengan perkembangan arus semasa. Sejak akhir-akhir ini, beberapa kumpulan muzik yang selama ini bergerak secara underground, sudah mula membuka mata kelompok peminat lebih besar. Lagu mereka mendapat perhatian, dek nafas baru yang kononnya disuntik anak muda terbabit.
Lalu, kemenangan kumpulan Estranged menerusi lagu Itu Kamu diibarat tepat pada waktu, tatkala peminat muzik hari ini mencari irama yang lebih segar dan baru. Bukan menidakkan kekuatan 13 ciptaan lain, namun Itu Kamu melambangkan kebangkitan generasi baru dalam usaha sama-sama menghasilkan karya baik dan bermutu.
Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan, yang juga ketua juri, turut mengakui keistimewaan Itu Kamu kerana pada ketika juri memilih ketiga-tiga pemenang, serta juara keseluruhan, ia dilakukan tanpa sebarang pertikaian. Beliau juga tidak menafikan kekuatan kategori Pop Rock, yang akhirnya mendominasi AJL kali ini.
Juri lain pada AJL22 terdiri daripada komposer serta penerbit album, Fauzi Marzuki, Helen Yap, Farihin Abdul Fatah dan Arab; Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah; penulis lirik, Amran Omar dan penyanyi serta pensyarah muzik, Syafinaz Selamat.
Turut membanggakan pada Ahad lalu ialah persembahan artis yang berupaya melunaskan tanggungjawab masing-masing menghadiahkan sesuatu paling menarik untuk kepuasan semua. Lantas, rata-rata penyanyi dan kumpulan yang bersaing, muncul dengan gaya persembahan memikat.
Pemilihan Mawi sebagai pemenang Persembahan Terbaik tidak boleh dipertikaikan. Banyak sekali peningkatan ditunjukkan anak muda Felda Taib Andak, Kulai, ini sejak dia memenangi Akademi Fantasi 3, pada 2005. Di samping menari dengan iringan penari dewasa dan kanak-kanak comel, Mawi juga sempat menunjukkan kebolehan silap mata dengan menukar pakaian dalam beberapa saat, menjadikan persembahannya sesuatu yang akan diingat.
Mungkin ramai peminat yang meramal keputusan itu kerana sebahagian undian persembahan diterima daripada penonton. Namun usah terperanjat apabila peratusan undian juri adalah lebih tinggi untuk jejaka terkenal ini berbanding SMS peminat, yang membolehkan Mawi pulang dengan habuan RM10,000.
Penonton juga cukup terhibur dengan persembahan kreatif Datuk Siti Nurhaliza yang tampil bertutup litup. Persembahan menghiburkan itu menyaksikan dia menyanyi dan menari, dengan konsep pahlawan moden. Sayang sekali, trofi Persembahan Terbaik tidak boleh dibelah-belah dan dikongsi-kongsi.
Jaclyn Victor dan Lah Ahmad pula selayaknya mengungguli kategori Vokal Terbaik apabila gandingan suara mereka memukau bukan saja juri, malah 10,000 penonton di stadium. Sejak peringkat separuh akhir lagi, kemantapan dan keserasian vokal dua penyanyi ini sudah terserlah, lalu apabila keputusan itu diumumkan kelmarin, tiada pihak yang mampu mengata di belakang.
Andai ada peminat yang kecewa, tentunya mereka yang menyukai kemerduan suara Bob ketika menggantikan Faizal Tahir, mengalunkan lagu Kasih Tercipta. Bob menjadikan lagu itu umpama miliknya sendiri. Nyanyian yang jauh berbeza daripada penyanyi asal, membuatkan penonton teruja, sehingga sebahagiannya bangun berdiri, tamat saja persembahan artis ini.
AJL22 juga seperti menyerlahkan ramai bintang TV realiti. Rich yang menjadi sebahagian anggota penting Estranged, Sahri yang menggantikan Kaer menyanyikan lagu Juara Balada - Izinku Pergi, Jac yang diumumkan pemenang kategori vokal, Fiq dan Bob yang masing-masing berjaya menyampaikan Mahakarya Cinta dan Kasih tercipta (dendangan asal Faizal) dengan baik, Fazli Zainal yang memukau dengan lagu Harapan, serta Mawi yang terpilih juara Persembahan Terbaik, semuanya daripada program realiti sama ada Akademi Fantasia, Malaysian Idol mahupun Mentor.
Pemenang AJL tahun ini:
Vokal terbaik-Jaclyn Victor (ceritera cinta feat Lah VE)
Persembahan Terbaik-Mawi(angan dan sedar)
Juara kategori etnik kreatif-Nora(Samudera)
Juara kategori pop rock-Estranged(Itu Kamu)
Juara ktegori balada-Sahri(Iziknku Pergi menggantikan Kaer)
JUARA LAGU AJL-22-ESTRANGED(ITU KAMU)
Tahniah kepada semua pemenang!
(dipetik dari BERITA HARIAN)
No comments:
Post a Comment