Followers

Thursday, May 16, 2013

SELAMAT HARI GURU BUAT SEMUA GURU!!

Kami 9 beradik dibesarkan oleh mak dan ayah yang masing-masing merupakan seorang cikgu. Daripada saya kecil banyak kali bertukar sekolah kerana ayah kerap ditukarkan ke sekolah lain apabila ayah dinaikkan pangkat.

Daripada cikgu sekolah menengah, kepada penolong kanan, kemudian pengetua, seterusnya pegawai pendidikan daerah kemaman dan akhir sekali sebelum ayah bersara beliau merupakan pengarah maktab perguruan sultan mizan di besut. Mak pula senang dengan hanya menjadi guru di sekolah rendah sampai lah pencen.

Pendek kata, pendidikan merupakan tunjang dan asas kekuatan sepanjang kami adik beradik membesar. Sehinggakan apabila saya tamat spm, sementara menanti keputusan keluar saya sempat menjadi guru sementara di sekolah pendidikan khas (kanak kanak kurang upaya) dan juga sebuah sekolah rendah biasa apabila cuti semester semasa masih menuntut di uitm.

Seronok rupanya menjadi cikgu.

Pengalaman saya mengajar walaupun sekejap sekurangnya membuka mata dan minda saya bahawa profession sebagai seorang guru bukan semudah yang disangka. Ada kepuasan tersendiri yang dikecapi tetapi tetap punya cabaran yang mendatang. Saya mula berfikir secara halus bahawa guru lah sebenarnya yang menjadi pembentuk minda dan pemikiran generasi kecil untuk kesejahteraan hidup di masa akan datang.

Syukur pada Allah atas kesempatan yang diberikan dalam merasa susah payah dan penat seorang guru. Sekurangnya saya punya idea dan tetap meletakkan proffesion guru di tempat tertinggi dalam membentuk kemajuan anak bangsa. Mungkin tidak ada rezeki saya untuk menjadi cikgu walaupun punya minat mendalam.(jujur saya katakan jika saya tidak bekerja di kedudukan sekarang kemungkinan besar saya ialah seorang guru, dengan izin Allah).

Kepada semua guru dan pendidik, teruskan kerja murni. Teruskan perjuangan. Kerana negara memerlukan lebih banyak warga pendidik yang professional dan berdedikasi. Terima kasih saya ucapkan kepada semua guru/pendidik yang telah mendidik dan memberikan pelajaran yang secukupnya dari saya kecil hingga lah ke menara gading. Terima kasih yang tidak terhingga, Terutamanya untuk dua guru paling utama di hati saya, mak dan ayah.

Selamat hari guru.

Untuk arwah ayah yang sentiasa dalam doa saya,
Untuk Mak yang saya tetap akan sayang sampai bila-bila.
Untuk isteri saya juga seorang pensyarah,
Untuk semua guru-guru dan pendidik di seluruh dunia.

Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati kalian.

Ameen.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails